NADI Taman Seraya berpeluang menyertai sambutan Hari Keselamatan Internet (HKI) 2026 yang berlangsung meriah di Astaka Taman Tasik Titiwangsa, dengan kehadiran pelbagai agensi, komuniti serta pengunjung dari pelbagai lapisan umur.
Seawal pagi, suasana program telah dihidupkan dengan aktiviti interaktif seperti ExploRace, sebelum diteruskan dengan acara kemuncak iaitu perasmian oleh Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang turut melancarkan Kempen Internet Selamat 2026.
Bertemakan “Teknologi Pintar, Pilihan Selamat: Penggunaan AI Secara Selamat dan Bertanggungjawab”, program ini menekankan kepentingan penggunaan teknologi secara bijak, khususnya dalam era digital yang semakin berkembang pesat. Inisiatif ini digerakkan oleh Kementerian Komunikasi Malaysia bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi memastikan masyarakat lebih peka terhadap aspek keselamatan siber.
Lebih menarik, pihak NADI turut menampilkan pelbagai booth pameran yang kreatif dan interaktif bagi mendekatkan komuniti dengan dunia digital. Antara tarikan utama termasuk NADI E-Sukan yang memberi pengalaman dunia permainan kompetitif, NADI Mahir yang memfokuskan pembangunan kemahiran digital, serta NADI Cybersecurity yang memberi pendedahan tentang kepentingan keselamatan dalam talian. Pengunjung juga berpeluang menyertai aktiviti hands-on, kuiz dan sesi perkongsian santai yang menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan.
Penyertaan NADI Taman Seraya dalam program ini bukan sahaja memeriahkan acara, malah membuktikan komitmen berterusan dalam memperkasakan komuniti dengan ilmu digital serta kesedaran keselamatan internet. Diharapkan usaha seperti ini dapat terus memberi impak positif dan membentuk masyarakat yang lebih celik teknologi dan berhemah dalam penggunaan internet.


